KUIH PENYARAM: RASA YANG SELALU BAWA AKU TERBANG KE KOTA KINABALU,SABAH



Ada sesetengah rasa yang tak pernah hilang, walaupun kita sudah lama meninggalkan tempat itu.
Bagi saya, rasa itu adalah kuih penyaram.

Setiap kali teringat Kota Kinabalu, bayangan pertama yang muncul bukan laut biru atau matahari terbenamnya, tapi penyaram panas yang baru diangkat dari kuali. Bau gula merah yang manis, sedikit hangus di tepi, dan tekstur rangup di luar tetapi lembut di dalam—cukup untuk buat saya tersenyum sendiri.


Kuih Tradisional yang Ada Jiwa

Bagi orang Sabah, penyaram bukan sekadar kuih.
Ia adalah sebahagian daripada budaya—dihidangkan ketika kenduri, majlis keluarga, atau sekadar teman kopi di pagi hari. Setiap penjual pula ada sentuhan tersendiri. Ada yang lebih rangup, ada yang lebih lembut, tapi semuanya ada satu persamaan: dibuat dengan sabar.

Mungkin sebab itu rasanya berbeza.
Bukan hanya dari bahan, tapi dari niat dan kebiasaan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi lain.

Di semenanjung ni bukan tak ada kuih ni, di sini kami panggil cucur jawa. Ada yang gelar topi mexico. Dijual di gerai sarapan pagi ditepi jalan cumanya rasa yang saya biasa makan beza dengan yang pertama kali di Sabah. Lembut di dalam, cantik sarangnya dan rangup bahagian tepi berbeza dengan rasa yang selalu saya beli di sini, keras, liat dan kadang kala tak berongga dalamnya.

Di sini setiap hari Sabtu  ada Pasar Borneo . Semua gerai menjual makanan dan barang dari Borneo. KErap juga kami membeli kuih penyaram di situ. 3 keping RM5 harganya sekarang. Gigih kami beratur tepi kuali menanti order. 

Kadang-kadang saya terfikir, betapa hebatnya makanan tradisional. Ia bukan sekadar mengenyangkan, tapi menyimpan memori. Satu gigitan boleh membawa kita kembali ke tempat yang kita rindukan, walaupun hanya seketika.

 Jangan Lupa Penyaram

Kalau suatu hari nanti aku kembali ke Kota Kinabalu, aku tahu satu perkara yang pasti aku cari.
Bukan restoran besar atau kafe moden, tapi penyaram panas di pasar atau gerai kecil—yang rasanya sama seperti dulu.

Kerana ada rasa yang bukan untuk berubah.
Ia hanya untuk dikenang.

Sementara nak kembali Jalan-jalan ke Sabah saya buat sendiri dulu kuih ni agar dapat makan selalu. Bukan sekali dua gagal mengadun kuih ni walau bahannya mudah tapi tak pernah putus asa demi rasa cinta pada keunikan kuih penyaram ni. 

Tanpa telur, tanpa bahan penaik dalamnya bersarang cantik.Unik kan?Teknik goreng dengan suhu minyak yang tepat memang buat saya putus asa berkali kali untuk mencuba buat kuih penyaram ni. Alhamdulillah sekarang tak perlu beratur di Pasar Borneo lagi demi sesuap penyaram. Ke Sabah je nanti baru kita cari di gerai tepi jalan.

Bak kata Aunty yang jual penyaram di Kota Kinabalu tu, Kuih Sabah, tapi jawa dapat nama!( guraunya sambil tertawa kecil merujuk kepada nama kuih penyaram di sini, iaitu cucur jawa) 

Post a Comment

0 Comments