Cili Kisar Homemade, Mudahkan Kerja Dapur





Cili kisar memang bahan asas yang sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Kalau setiap kali memasak perlu kisar cili, memang ambil masa dan agak leceh. Sebab itu, cili kisar homemade sangat membantu saya untuk memudahkan kerja dapur. Selain lebih jimat, kita juga boleh jaga kebersihan dan tahap kepedasan ikut citarasa sendiri sebab saya buat cili kisar guna dua jenis cili kering iaitu cili jenis gemok besar yang tak pedas langsung campur cili kering kurang pedas..

Saya memang jenis kalau buat cili kisar, suka buat sekali banyak. Biasanya saya akan kisar seperiuk terus, dan dapatlah dalam 4–5 bekas cili kisar. Cara ni jauh lebih mudah dan jimat masa, terutama bila nak memasak lauk harian. Tak perlu nak kisar setiap kali, cedok saja ikut keperluan.


Cara Buat Cili Kisar Homemade

Bahan-bahan:

  • Cili kering (ikut kuantiti yang dikehendaki)

  • Air secukupnya

  • Sedikit minyak masak (pilihan, untuk tahan lama)

Langkah-langkah:

  1. Cuci cili kering dan buang tangkai.

  2. Rebus cili kering sehingga lembut (lebih kurang 10–15 minit).

  3. Toskan air rebusan dan biarkan cili sejuk sedikit.

  4. Kisar cili bersama sedikit air rebusan atau air bersih hingga halus.

  5. Jika suka, boleh tapis untuk tekstur lebih licin.

  6. Panaskan sedikit minyak dan tumis sekejap cili kisar sehingga naik bau (opsyenal tapi digalakkan untuk ketahanan lebih lama).

Cara Simpan Cili Kisar Supaya Tahan Lama

  1. Sejukkan dahulu cili kisar sebelum disimpan.

  2. Simpan dalam bekas bertutup rapat dan bersih.

  3. Boleh asingkan ikut sukatan kecil supaya mudah digunakan.

  4. Simpan dalam:

    • Peti sejuk (chiller): tahan 1–2 minggu

    • Freezer: boleh tahan sehingga 1–3 bulan

  5. Gunakan sudu kering setiap kali mengambil cili kisar untuk elak cepat berkulat.

Dengan menyediakan cili kisar homemade, kerja memasak jadi lebih cepat dan mudah. Tak perlu lagi kisar cili setiap kali hendak memasak, malah lebih jimat dan terjamin kebersihannya. Harap perkongsian ini bermanfaat dan boleh dijadikan stok dapur untuk kegunaan harian.


Post a Comment

0 Comments